Trump halau warga Malaysia/Tawar imbuhan AS$1,000

Rakyat Malaysia dan negara asing yang tinggal secara haram di Amerika Syarikat ditawarkan AS$1,000 (RM4,268) untuk meninggalkan negara itu menerusi satu program amnesti.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Amerika Syarikat baru-baru ini melancarkan program penghantaran pulang secara sukarela itu melalui aplikasi CBP One milik agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP).
Kerajaan Trump menawarkan bantuan kewangan dan dokumen perjalanan kepada mereka yang menetap secara haram di negara itu bagi memudahkan urusan pulang ke negara asal.
Pembantaian sistematik wartawan/Israel bunuh 213 petugas media.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengajak pertubuhan wartawan dan pekerja media menggembleng tenaga untuk mengutuk pembunuhan kejam dan sistematik wartawan Palestin.
Setakat ini, 213 wartawan syahid. Terbaru, penyiar dan penyunting berita, Nour Al-Din Matar Abdo terbunuh di kejiranan Al-Tuffah, timur bandar Gaza.
“Ini bukan lagi kerosakan sampingan tetapi pemusnahan terancang terhadap suara kebenaran, Wartawan, pengamal media dan kesatuan akhbar Malaysia perlu bangkit bersuara,” menurut kenyataan Mapim.
Nazir puji kerajaan Madani

Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-BAC), Tan Sri Nazir Razak, memuji pendekatan Malaysia menangani tarif Amerika Syarikat dan menyifatkan ia harus menjadi teladan kepada negara lain di rantau ini.
Menurutnya, kematangan diplomasi Malaysia dalam menangani isu tarif Amerika Syarikat melalui pendekatan yang tenang, perundingan berstrategi dan perancangan semula.
Nazir menekankan beberapa negara bertindak balas terlalu cepat terhadap isu tarif, yang boleh menggugat kepentingan ekonomi Asean.
Pakistan tembak jatuh 5 jet India

Pakistan menembak jatuh lima pesawat India selepas serangan India terhadap Pakistan yang menyebabkan lapan orang terbunuh.
Pakistan menyifatkan serangan itu sebagai tindakan perang terang-terangan dan adalah pertempuran terburuk dalam tempoh lebih dua dekad di antara kedua-dua negara itu.
Pertikaian wilayah hamper 80 tahun berhubung Kashmir itu marak semula berikutan serangan yang meragut 26 pelancong Hindu di daerah Kashmir yang ditadbir India.
India isytihar perang/Serang 3 lokasi Pakistan

India mengisytihar perang terhadap Pakistan dan sejurus itu melancarkan serangan peluru berpandu ke tiga lokasi di Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan, lapor Reuters.
Agensi berita itu melaporkan, tembakan artileri berat dan letupan kuat di beberapa kawasan sempadan di Kashmir.
Sebelum ini, India mengumumkan akan melancarkan serangan ke atas infrastruktur yang disifatkannya kubu pengganas di Sembilan lokasi.
Pakistan berikrar akan bertindak balas terhadap serangan itu.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa India dan Pakistan mengelak daripada mengambil sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan.
Hakim Danish menang lagi.

Penunggang muda berbakat, Hakim Danish Ramli, 17 beraksi cemerlang di pusingan pertama Kejuaraan Dunia GP Remaja di Estoril, Portugal apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua .
Kapal bawa biri-biri untuk jemaah karam di Sudan

Sebuah kapal kargo yang membawa 15,800 biri-biri dari Australia untuk kegunaan jemaah haji di Makkah karam di luar pantai Laut Merah, dekat Sudan.
Hampir semua haiwan bekenaan mati manakala biri-biri yang masih hidup diselamatkan oleh warga Sudan yang menggunakan perahu-perahu kecil.
Pegawai pelabuhan berkata, kapal itu selesai memuatkan ternakan di Pelabuhan Suakin, Sudan apabila ia mula tenggelam ketika meninggalkan dermaga.
Kapal itu, Badr 1, tenggelam pada awal pagi Ahad dan dikatakan melebihi had muatan.
“Kapal ini sepatutnya hanya dibenarkan membawa 9,000 ekor kambing,” katanya.
Bantuan untuk PKS imbangi tarif AS

Kerajaan setuju meningkatkan jaminan RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) khusus untuk membantu pengeksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat tarif Amerika Syarikat bagi mendapatkan pinjaman daripada bank komersil.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat kerajaan setuju menambah Dana Pembiayaan Mudah sebanyak RM500 juta melalui Institusi Pembangunan Kewangan.
Menurutnya, ia antara langkah Kerajaan Madani untuk memastikan kestabilan ekonomi dan mempertahankan kepentingan negara untuk jangka masa pendek dan sederhana.
Angan-angan Trump nak jadi Pope

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mencetus kontroversi lagi apabila berkongsi gambarnya berlagak seperti Pope menerusi platform Truth Social.
Imej yang dijana menggunakan teknologi kecerdasan (AI) itu dimuat naik selepas Trump berseloroh dengan wartawan dengan menyatakan dirinya mahu menjadi pengganti Pope Francis yang meninggal pada 21 April lalu.
Trump bukan penganut Katolik dan tidak kerap ke gereja.
Imej itu menunjukkan Trump dengan wajah tanpa tersenyum duduk di kerusi berhias, memakai jubah putih dan tengkolok dengan jari telunjuk kanan dinaikkan.
Dakwah Menerusi Seni

Erma Fatima (Penulis skrip drama Bidaah):
“Saya orang seni yang pasti ada kekurangan dalam hal agama. Tegurlah saya dengan berhemah, bukan menghentam dalam media sosial. Namun, saya akan terus berjuang menolak kemungkaran selagi ada kemampuan”.
Dr Abu Hafiz (Pensyarah Pengajian al-Quran dan Hadis UIA):
“Saya dan rakan-rakan dah cakap lama mengenai isu ini tetapi tidak ramai ambil peduli. Erma Fatima melakukannya hanya dengan drama 15 episod. Dia bukan sahaja menyedarkan ramai orang malah menggerakkan mangsa untuk membuat laporan seperti yang berlaku di Indonesia”.
Tunggu perbahasan Erma Fatima dan Dr Abu Hafiz mengenai drama Bidaah yang menimbulkan banyak komentar negatif dan positif di Ngopi Seni Channel10. Moderator Manja Ismail memanaskan perbualan ini.
Bekalan telur murah dipertingkat

Bekalan telur gred C akan ditambah agar pengguna dapat terus menikmatinya pada kadar harga murah walaupun subsidinya akan dimansuhkan 1 Ogos depan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pengeluaran telur keluaran khas yang diperkenalkan Ramadan lalu mendapat sambutan menggalakkan.
“Kita akan tingkatkan pengeluaran telur khas yang harganya lebih murah. Pada Ramadan lalu, telur berkenaan dijual sepapan RM5,” katanya.
Menurutnya, libat urus berunding dan berbincang dengan pengeluar sudah dijalankan.
Tarif AS mungkin dikurangkan: PM

Kuala Lumpur: Tarif timbal balik yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap Malaysia sebanyak 24 peratus mungkin dikurangkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, Amerika bersetuju untuk berunding lebih lanjut dengan Malaysia.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, rundingan itu masih di peringkat awal dan belum ada sebarang kata putus kedua-dua pihak, katanya di Sidang Khas Parlimen di Dewan Rakyat.
“Sekali lagi saya tegaskan proses itu masih berada di peringkat awal tanpa sebarang persetujuan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak,” katanya.