Berita: Nasional

Kerajaan setuju meningkatkan jaminan RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) khusus untuk membantu pengeksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat tarif Amerika Syarikat bagi mendapatkan pinjaman daripada bank komersil. Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat kerajaan setuju menambah Dana Pembiayaan Mudah sebanyak RM500 juta melalui Institusi Pembangunan Kewangan. Menurutnya, ia antara langkah Kerajaan Madani untuk memastikan kestabilan ekonomi dan mempertahankan kepentingan negara untuk jangka masa pendek dan sederhana.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mencetus kontroversi lagi apabila berkongsi gambarnya berlagak seperti Pope menerusi platform Truth Social. Imej yang dijana menggunakan teknologi kecerdasan (AI) itu dimuat naik selepas Trump berseloroh dengan wartawan dengan menyatakan dirinya mahu menjadi pengganti Pope Francis yang meninggal pada 21 April lalu. Trump bukan penganut Katolik dan tidak kerap ke gereja. Imej itu menunjukkan Trump dengan wajah tanpa tersenyum duduk di kerusi berhias, memakai jubah putih dan tengkolok dengan jari telunjuk kanan dinaikkan.
Bekalan telur gred C akan ditambah agar pengguna dapat terus menikmatinya pada kadar harga murah walaupun subsidinya akan dimansuhkan 1 Ogos depan. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pengeluaran telur keluaran khas yang diperkenalkan Ramadan lalu mendapat sambutan menggalakkan. "Kita akan tingkatkan pengeluaran telur khas yang harganya lebih murah. Pada Ramadan lalu, telur berkenaan dijual sepapan RM5," katanya. Menurutnya, libat urus berunding dan berbincang dengan pengeluar sudah dijalankan.
Kuala Lumpur: Tarif timbal balik yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap Malaysia sebanyak 24 peratus mungkin dikurangkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurutnya, Amerika bersetuju untuk berunding lebih lanjut dengan Malaysia. Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, rundingan itu masih di peringkat awal dan belum ada sebarang kata putus kedua-dua pihak, katanya di Sidang Khas Parlimen di Dewan Rakyat. "Sekali lagi saya tegaskan proses itu masih berada di peringkat awal tanpa sebarang persetujuan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak," katanya.
Malaysia adalah negara ketiga terkaya di Asia Tenggara dan ke-71 di peringkat global, lapor Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) 2025 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita AS$14,423 bersamaan RM61,903. Singapura yang mempunyai KDNK per kapita AS$93,956 (RM403,256) di tempat pertama diikuti Brunei KDNK per kapita AS$37,023 (RM156,902). Di peringkat global, Singapura di kedudukan keempat terkaya di dunia manakala Brunei di tempat ke-35. Malaysia hanya sedikit di bawah purata global sebanyak $AS14,450 (RM62,018) menggariskan kedudukan ekonominya yang kukuh di rantau ini.
Pemain skuasy Malaysia, Aira Azman menjuarai Terbuka Bermuda 2025 selepas menewaskan pencabarnya dari Mesir, Hana Moataz di Devonsire, Bermuda. Turun sebagai pemain pilihan pertama, Aira yang kini berada di ranking ke-30 dunia mencatat kemenangan 3-0 (12-10, 11-3 11-6) dalam masa 27 minit. Kejayaan itu turut mencatat sejarah peribadi Aira apabila merangkuk kejuaraan pertamanya ke atas Moataz yang menduduki ranking ke-38 dunia. Di separuh akhir, Aira menewaskan kakaknya Aifa Aman.
Permata baru sukan skuasy negara Aira Azman mara ke perlawanan akhir Kejohanan Terbuka Bermuda 2025 selepas menundukkan kakaknya Aifa Azman dalam pusingan separuh akhir. Pemain berusia 20 tahun itu memulakan permainan kurang baik dan tewas 4-11 tetapi bangkit untuk mencatat kemenangan tiga set berikutnya 11-4, 11-8 dan 11-6. Ini adalah perlawanan akhir Aira musim ini. Dia adalah pilihan pertama kejohanan itu, yang diadakan di Devonshire, Bermuda. Lawannya pada final adalah pilihan kedua kejohanan dari Mesir Haana Moataz yang menewaskan rakan senegaranya Amina El Rihay 7-11,11-7, 7-11, 11-7, 11-9 dalam aksi separuh akhir.
Kosovo dan Malaysia melihat potensi besar dalam sektor industri halal, pertanian, tenaga dan teknologi di antara kedua-dua negara. Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu yang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia, menekankan usaha meningkatkan kerjasama diplomatik, termasuk penubuhan kedutaan di Kuala Lumpur serta mengukuh perdagangan dan pelaburan. Menurutnya, Kosovo melihat potensi besar dalam sektor seperti pertanian, tenaga, teknologi dan industri halal.
Kad Pekerja Madani, inisiatif untuk sejuta ahli kesatuan pekerja menerima akses diskaun 30 peratus di lebih 100 syarikat yang menawarkan barangan keperluan dan perkhidmatan, dilancarkan pada Hari Buruh. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar mengumumkan pengenalan kad itu ketika menyampaikan amanat sempena Hari Buruh. "Kad perkerja Madani ini untuk memberi ruang kepada ahli kesatuan yang ada kad pekerja," katanya. Kad Pekerja Madani diperkenalkan Kementerian Sumber Manusia sebagai medium penyampaian faedah bersasar melalui pendekatan kerjasama strategik di antara kerajaan dan swasta.
Malaysia mencatat sejarah apabila menduduki tempat pertama dalam penilaian open data inventory 2024-2025, satu pengiktirafan global yang membanggakan. Menteri Komunikasi mengucapkan tahniah kepada Open Data Inventory Malaysia (ODIN) atas pengiktirafan itu, "Ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan apabila negara kita berada di kedudukan nombor satu daripada 198 negara yang dinilai," katanya. Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama bersepadu agensi kerajaan walaupun masih ada ruang untuk diperbaiki.
Sebuah syarikat tenaga boleh baharu dari Belanda menubuhkan loji perintis di Kuantan untuk memanfaatkan sisa kelapa sawit dengan menukarnya menjadi pellet hitam TG2, iaitu sumber tenaga boleh baharu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempersoalkan mengapa pencerobohan tanah di Raub yang ditanam durian Musang King lambat dikesan sedangkan ada pokok yang baru ditanam lapan atau sembilan tahun lalu. Pengarah SPRM, Azam Baki berkata, mereka yang menceroboh mendakwa mereka sudah menanam pokok durian pada 1974 dan jika itu dakwaan mereka tentulah pokok-pokok itu kini berusia 40 hingga 50 tahun. "Ini menunjukkan ada pencerobohan baru dan kerajaan negeri Pahang sudah mengambil maklum," katanya.
Channel 10 Malaysia January 19, 2026