Tarif AS mungkin dikurangkan: PM

Kuala Lumpur: Tarif timbal balik yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap Malaysia sebanyak 24 peratus mungkin dikurangkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, Amerika bersetuju untuk berunding lebih lanjut dengan Malaysia.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, rundingan itu masih di peringkat awal dan belum ada sebarang kata putus kedua-dua pihak, katanya di Sidang Khas Parlimen di Dewan Rakyat.
“Sekali lagi saya tegaskan proses itu masih berada di peringkat awal tanpa sebarang persetujuan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Malaysia ke-3 terkaya Asia Tenggara

Malaysia adalah negara ketiga terkaya di Asia Tenggara dan ke-71 di peringkat global, lapor Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) 2025 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita AS$14,423 bersamaan RM61,903.
Singapura yang mempunyai KDNK per kapita AS$93,956 (RM403,256) di tempat pertama diikuti Brunei KDNK per kapita AS$37,023 (RM156,902). Di peringkat global, Singapura di kedudukan keempat terkaya di dunia manakala Brunei di tempat ke-35.
Malaysia hanya sedikit di bawah purata global sebanyak $AS14,450 (RM62,018) menggariskan kedudukan ekonominya yang kukuh di rantau ini.
Aira ke final Skuasy Bermuda

Permata baru sukan skuasy negara Aira Azman mara ke perlawanan akhir Kejohanan Terbuka Bermuda 2025 selepas menundukkan kakaknya Aifa Azman dalam pusingan separuh akhir.
Pemain berusia 20 tahun itu memulakan permainan kurang baik dan tewas 4-11 tetapi bangkit untuk mencatat kemenangan tiga set berikutnya 11-4, 11-8 dan 11-6.
Ini adalah perlawanan akhir Aira musim ini. Dia adalah pilihan pertama kejohanan itu, yang diadakan di Devonshire, Bermuda.
Lawannya pada final adalah pilihan kedua kejohanan dari Mesir Haana Moataz yang menewaskan rakan senegaranya Amina El Rihay 7-11,11-7, 7-11, 11-7, 11-9 dalam aksi separuh akhir.
Kad Pekerja Madani diperkenal/Nikmati diskaun 30 peratus

Kad Pekerja Madani, inisiatif untuk sejuta ahli kesatuan pekerja menerima akses diskaun 30 peratus di lebih 100 syarikat yang menawarkan barangan keperluan dan perkhidmatan, dilancarkan pada Hari Buruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar mengumumkan pengenalan kad itu ketika menyampaikan amanat sempena Hari Buruh.
“Kad perkerja Madani ini untuk memberi ruang kepada ahli kesatuan yang ada kad pekerja,” katanya.
Kad Pekerja Madani diperkenalkan Kementerian Sumber Manusia sebagai medium penyampaian faedah bersasar melalui pendekatan kerjasama strategik di antara kerajaan dan swasta.
Penilaian Open Data Inventory/Malaysia di tempat pertama

Malaysia mencatat sejarah apabila menduduki tempat pertama dalam penilaian open data inventory 2024-2025, satu pengiktirafan global yang membanggakan.
Menteri Komunikasi mengucapkan tahniah kepada Open Data Inventory Malaysia (ODIN) atas pengiktirafan itu,
“Ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan apabila negara kita berada di kedudukan nombor satu daripada 198 negara yang dinilai,” katanya.
Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama bersepadu agensi kerajaan walaupun masih ada ruang untuk diperbaiki.
Sisa biomas sawit sumber tenaga baru

Sebuah syarikat tenaga boleh baharu dari Belanda menubuhkan loji perintis di Kuantan untuk memanfaatkan sisa kelapa sawit dengan menukarnya menjadi pellet hitam TG2, iaitu sumber tenaga boleh baharu.
Prosiding tuntutan Sulu di Paris 7 Julai

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata prosiding lanjutan berhubung kes tuntutan Kumpulan Sulu bakal berlangsung di Mahkamah Rayuan Paris pada 7 Julai ini.
Perbicaraan itu akan membabitkan badan kehakiman Perancis bagi meneliti kesahihan anugerah timbang tara yang dikenakan terhadap Malaysia serta pelbagai aspek perundangan berkaitan.
“Semua usaha, hak dan sumber yang ada akan terus dilaksanakan bagi melindungi kedaulatan, kekebalan dan kepentingan Malaysia sambil memuktamadkan kes penipuan Kumpulan Sulu,” katanya.
Tragedi Putra Heights/Hantar tuntutan kepada MBSJ

Mangsa kebakaran dan letupan gas di Putra Heights, Subang Jaya boleh mengemukakan tuntutan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ) jika kerosakan rumah yag dialami mereka dalam bencana itu kurang daripada 40 peratus.
Datuk Bandar Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ), Datuk Amirul Azizan Abd Rahim, berkata mangsa dinerikan tempoh enam bulan untuk membuat tuntutan beserta invois dan gambar.
Mereka juga dinasihatkan supaya membuat tuntutan menerusi persatuan penduduk kawasan masing-masing.
Menurutnya, Jawatankuasa Pengurusan Selangor dipengerusikan oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri memutuskan untuk mengurus tuntutan kerosakan rumah yang melebihi RM30,000.
Pisang mas terbaik dunia

Jangan terkejut jika pisang yang banyak ditanam di Malaysia diiktiraf oleh dunia sebagai pisang terbaik 2025.
Sesuai dengan namanya, pisang mas dinobat sebagai pisang terbaik berdasarkan kriteria dan anaugerah dari The Tasteatlas, sebuah laman panduan makanan global.
Dalam senarai 10 pisang terbaik dunia, pisang mas dari Malaysia menduduki tangga pertama, mengatasi pelbagai jenis pisang dari negara lain termasuk India dan Britain.
Emas di sebalik durian?

Penceroboh tanah haram yang menanam durian musang king di Raub, Pahang merobohkan empat jambatan untuk menghalang agensi penguatkuasaan menjalankan tugas-tugas memusnahkan pokok-pokok durian.
Mengapa tindakan begitu berani dilakukan oleh penceroboh-penceroboh berkenaan. Untuk melindungi dan mempertahankan pokok musang king yang memberikan pendapatan lumayan atau ada udang di sebalik batu?
Ramai mendakwa Raub adalah jajaran di Semenanjung yang tersembunyi banyak emas, khususnya di Sungai Klau. Apakah ini yang menyebabkan mereka bersungguh-sungguh mempertahankan ladang berkenaan?
China-Malaysia meterai 31 MoU

Sebanyak 31 memorandum persefahaman meliputi pelbagai sektor dimeterai di antara China dan Malaysia sempena kunjungan Presiden Xi Jinping ke Malaysia bagi menggambarkan kepentingan negara dari segi peranannya dalam Asean dan hubungan dua hala dengan Beijing.
Lawatan Xi dilihat penting bagi kedua-dua negara untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan .
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Zafrul Aziz menyifatkan memorandum persefahaman yang ditandatangani itu menunjukkan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan pelaburan dan perdagansn
Saksama teras ekonomi Madani

Pembangunan yang saksama merupakan antara teras utama dalam kerangka Ekonomi MADANI, bagi memastikan semua wilayah dapat memperkukuh asas ekonomi masing-masing dan menyumbang kepada kemajuan negara secara menyeluruh.
Justeru, bagi negeri-negeri yang mencatat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita terendah di Semenanjung Malaysia — Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu — Kerajaan MADANI telah meningkatkan Perbelanjaan Pembangunan dari tahun ke tahun. Langkah ini bertujuan membina prasarana kritikal dan menambah baik kemudahan yang telah lama ketinggalan.