Malaysia ke-3 terkaya Asia Tenggara

Malaysia adalah negara ketiga terkaya di Asia Tenggara dan ke-71 di peringkat global, lapor Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) 2025 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita AS$14,423 bersamaan RM61,903.
Singapura yang mempunyai KDNK per kapita AS$93,956 (RM403,256) di tempat pertama diikuti Brunei KDNK per kapita AS$37,023 (RM156,902). Di peringkat global, Singapura di kedudukan keempat terkaya di dunia manakala Brunei di tempat ke-35.
Malaysia hanya sedikit di bawah purata global sebanyak $AS14,450 (RM62,018) menggariskan kedudukan ekonominya yang kukuh di rantau ini.
Lawatan Presiden Kosovo/Timbang kerjasama industri halal

Kosovo dan Malaysia melihat potensi besar dalam sektor industri halal, pertanian, tenaga dan teknologi di antara kedua-dua negara.
Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu yang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia, menekankan usaha meningkatkan kerjasama diplomatik, termasuk penubuhan kedutaan di Kuala Lumpur serta mengukuh perdagangan dan pelaburan.
Menurutnya, Kosovo melihat potensi besar dalam sektor seperti pertanian, tenaga, teknologi dan industri halal.
Kad Pekerja Madani diperkenal/Nikmati diskaun 30 peratus

Kad Pekerja Madani, inisiatif untuk sejuta ahli kesatuan pekerja menerima akses diskaun 30 peratus di lebih 100 syarikat yang menawarkan barangan keperluan dan perkhidmatan, dilancarkan pada Hari Buruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar mengumumkan pengenalan kad itu ketika menyampaikan amanat sempena Hari Buruh.
“Kad perkerja Madani ini untuk memberi ruang kepada ahli kesatuan yang ada kad pekerja,” katanya.
Kad Pekerja Madani diperkenalkan Kementerian Sumber Manusia sebagai medium penyampaian faedah bersasar melalui pendekatan kerjasama strategik di antara kerajaan dan swasta.
Kenapa pencerobohan tanah lambat dikesan?: SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempersoalkan mengapa pencerobohan tanah di Raub yang ditanam durian Musang King lambat dikesan sedangkan ada pokok yang baru ditanam lapan atau sembilan tahun lalu.
Pengarah SPRM, Azam Baki berkata, mereka yang menceroboh mendakwa mereka sudah menanam pokok durian pada 1974 dan jika itu dakwaan mereka tentulah pokok-pokok itu kini berusia 40 hingga 50 tahun.
“Ini menunjukkan ada pencerobohan baru dan kerajaan negeri Pahang sudah mengambil maklum,” katanya.
RM40 juta baik pulih kediaman rosak

Peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih kediaman terjejas disebabkan kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya 1 April lalu ialah RM40 juta, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, peruntukan bagi kerja baik pulih itu membabitkan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan sumbangan awam.
Kerja baik pulih bagi kediaman di sekitar Putra Heights akan dilaksanakan oleh Sime Darby selaku pemaju Kawasan perumahan itu manakala di Kampung Sungai Baru oleh Syarikat Perumahan Negaraa Berhad
Isu Palestin: Anwar puji Maldives

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanjung langkah berani Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu menyekat pemegang passport Israel daripada memasuki negara itu.
Langkah itu adalah sebagai tanda solidariti terhadap kekejaman yang dilakukan Israel terhadap warga Palestin, katanya di forum Perniagaan Maldives-Malaysia 2025..
Dr Mohamed Muizzu berada di sini atas rangka lawatan rasmi pertama beliau sejak menjadi presiden November 2023.
Anwar juga menegaskan Malaysia sedang menggiatkan ikhtiar memperkukuh kerjasama dalam Asean dan negara jiran lain seperti Maldives.
Penduduk Malaysia 34 juta/71 % umur 60 ke atas.

Jumlah penduduk Malaysia kini sudah mencecah 34 juta mengikut statistik yang dikeluarkan pada suku pertama tahun lalu oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Menurut jabatan itu, ini adalah pertambahan 2.3 peratus daripada suku pertama 2023.
Data yang dikeluarkan oleh jabatan itu juga menunjukkan jumlah warganegara ialah 30.6 juta (90 peratus) dan bukan warganegara 3.4 juta (10 peratus) manakala nisbah jantina penduduk ialah 111 (lelaki):100 perempuan.
Bilangan warga lelaki meningkat 400 ribu menjadi 17.8 juta sementara perempuan pula meningkat 300 ribu menjadi 16.1 juta.
Produk guna sijil halal Indonesia/DNA babi dikesan

Jakim mengarahkan penarikan serta-merta beberapa produk dari Indonesia yang menggunakan logo sijil halal negara itu kerana mengandungi kesan DNA babi.
Langkah itu diambil berikutan pengumuman Agensi Jaminan Produk Halal (BPJPJ) yang mengesahkan ujian yang dijalankan ke atas produk-produk berkenaan mengesan DNA babi di 11 sampel sembilan produk makanan di negara berkenaan.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menekankan produk-produk makanan berkenaan mungkin bertentangan dengan piawaian halal di Malaysia.
Malaysia intai pasaran Afrika

Negara-negara di benua Afrika dilihat sebagai rakan dagang baru berikutan tarif membabi-buta Presiden Donald Trump yang meninggalkan impak global.
Malaysia tidak ketinggalan mengintai peluang untuk membuka peluang perniagaan yang lebih luas dan mempelbagaikan perdagangan dengan negara-negara di benua itu.
Trump mengenakan tarif 24 peratus ke atas Malaysia.
Emas di sebalik durian?

Penceroboh tanah haram yang menanam durian musang king di Raub, Pahang merobohkan empat jambatan untuk menghalang agensi penguatkuasaan menjalankan tugas-tugas memusnahkan pokok-pokok durian.
Mengapa tindakan begitu berani dilakukan oleh penceroboh-penceroboh berkenaan. Untuk melindungi dan mempertahankan pokok musang king yang memberikan pendapatan lumayan atau ada udang di sebalik batu?
Ramai mendakwa Raub adalah jajaran di Semenanjung yang tersembunyi banyak emas, khususnya di Sungai Klau. Apakah ini yang menyebabkan mereka bersungguh-sungguh mempertahankan ladang berkenaan?
China-Malaysia meterai 31 MoU

Sebanyak 31 memorandum persefahaman meliputi pelbagai sektor dimeterai di antara China dan Malaysia sempena kunjungan Presiden Xi Jinping ke Malaysia bagi menggambarkan kepentingan negara dari segi peranannya dalam Asean dan hubungan dua hala dengan Beijing.
Lawatan Xi dilihat penting bagi kedua-dua negara untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan .
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Zafrul Aziz menyifatkan memorandum persefahaman yang ditandatangani itu menunjukkan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan pelaburan dan perdagansn
Bermulanya era gemilang: Xi Jinping

Presiden Xi Jinping menyifatkan hubungan Malaysia dengan China akan memasuki era gemilang baru (new golden era) pada waktu perang tarif global semakin menjadi-jadi.
Beliau berharap usahasama China-Malaysia dan lawatannya ke Kuala Lumpur akan membuahkan hasil memberangsangkan serta membawa kepada permulaan era “50 tahun emas” baru.
China juga mahu lawatan ke sini membuka lembaran baru dalam sejarah hubungan kejiranan mesra dan perdagangan yang menguntungkan kedua-dua negara.