Zii Jia sertai skuad Piala Thomas tanpa syarat

Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Segala polemik berhubung hak imej diketepikan oleh pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia apabila bersetuju membantu Malaysia dalam kempen Piala Thomas 2026.

Tanpa meletakkan sebarang tuntutan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Zii Jia memilih untuk mengenepikan perkara berkenaan dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada perjuangan pasukan.

Semua itu demi misi menamatkan penantian 34 tahun negara untuk menjulang trofi Piala Thomas.

Perkembangan itu diumumkan menerusi kenyataan Team LZJ yang mengesahkan persetujuan dicapai di antara pemain berusia 27 tahun itu dan BAM untuk menyertai skuad kebangsaan ke pusingan akhir di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.

“Lee Zii Jia sudah mencapai persetujuan dengan BAM untuk menjadi sebahagian daripada skuad Malaysia ke Piala Thomas 2026.

“Zii Jia juga bersetuju untuk mengetepikan bayaran hak imej bagi mewakili negara pada kejohanan akan datang sebagai tanda komitmen dan dedikasinya kepada Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Zii Jia turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan BAM khususnya Presiden, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Pengerusi Jawatankuasa Prestasi, Datuk Seri Lee Chong Wei atas kepercayaan diberikan kepadanya untuk membantu misi negara.