
KUALA LUMPUR: Pasangan muda Loh Zhi Heng-Noraqilah Maisarah Ramdan menjuarai kejohanan antarabangsa pertama mereka selepas memenangi acara beregu campuran Siri Antarabangsa Vietnam di Bac Giang
Walaupun berada pada ranking ke-133 dunia, pasangan itu menunjukkan aksi bertenaga pada final pertama mereka di peringkat senior apabila menewaskan gandingan Thailand yang menghuni ranking ke-159, Surasit Ariyabaraneekul-Atitaya Povanon 21-13, 14-21, 21-16 dalam pertarungan 45 minit.
Kejayaan itu juga sedikit sebanyak mengubat kekecewaan mereka yang terlepas tiket final beregu campuran Kejohanan Remaja Dunia baru-baru ini, selepas tewas di separuh akhir kepada pasangan Taiwan, Hung Bing Fu–Chou Yun An, dan sekadar membawa pulang pingat gangsa.
Bagaimanapun, kejuaraan ini dijangka menjadi satu-satunya gelaran buat mereka sebagai pasangan, apabila ketua jurulatih beregu campuran kebangsaan, Nova Widianto, merancang kombinasi baru bagi kedua-dua pemain.
Selepas ini, Noraqilah akan bergandingan dengan pemain senior, Loo Bing Kun pada Masters Korea yang bermula di Iksan, Selasa ini manakala Zhi Heng pula bakal membentuk gandingan bersama Nicole Tan, dengan kejohanan pertama mereka dijadual berlangsung di Cabaran Antarabangsa Indonesia dari 11 hingga 15 November.