Wan Arif-Roy King tekad gegar Paris

Foto Hiasan / BA Malaysia

Beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King mahu merealisasikan impian meraih pingat di Kejohanan Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini biarpun turun selaku ‘underdog’.

Pasangan ranking ke-22 dunia itu menganggap status berkenaan bukan penghalang untuk mereka berusaha mencipta kejutan menewaskan gandingan utama dunia, sekali gus membuktikan kemampuan bersaing di pentas tertinggi.

Kejayaan merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia BWF menerusi Terbuka Macau, baru-baru ini menjadi pembakar semangat untuk mereka tampil lebih garang di Paris.

“Kami dapat tahu layak ke Kejohanan Dunia sebelum beraksi di Macau. Ketika itu, kami hanya mahu menikmati permainan dan memberi yang terbaik tanpa terlalu memikirkan soal menang,” kata mereka.