Vietnam Musnah Impian Harimau Muda

Foto FA Malaysia

KUALA LUMPUR: Hasrat skuad negara untuk merebut tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2026 di Arab Saudi berkecai apabila tewas 0-4 kepada Vietnam pada aksi terakhir Kumpulan C kempen kelayakan di Stadium PVF, Hung Yen, Vietnam.

Kemenangan itu mengangkat Vietnam muncul juara kumpulan dengan mengumpul 15 mata, sekaligus meraih tiket ke Arab Saudi.

Harimau Malaya B-16 pula manamatkan saingan di tangga kedua, namun terpaksa melupakan Piala Asia B-17 2026 kerana hanya juara kumpulan yang akan melangkah ke pusingan akhir.

Pada aksi itu, skuad kendalian Javier Jorda Ribera yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam empat perlawanan sebelum ini bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal Vietnam pada minit keempat menerusi penyudah Nguyen Manh Cuong.

Ketika skuad negara cuba bangkit memburu gol penyamaan, Nguyen Ngoc Anh Hao meledak gol kedua pada minit ke-43 untuk Vietnam menutup babak pertama dengan kedudukan selesa.

Hanya lima minit selepas bersambung babak kedua, pintu gol Harimau Malaya B-16 bocor lagi dan kali ini menerusi ledakan Nguyen Van Duong.

Kualiti permainan yang dipamerkan barisan pemain muda Vietnam terus menghukum skuad negara dengan Le Sy Bach melengkapkan kemenangan bergaya pasukannya apabila menyumbang gol keempat, tiga minit sebelum tamat.