Vietnam belasah Malayan Tigress 7-0

Foto Sea Games / FA Malaysia

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Vietnam membelasah skuad bolasepak wanita negara 7-0 dalam perlawanan pembukaan saingan Kumpulan B Sukan SEA 2025 di Stadium Chonburi, Thailand, sebentar tadi.

Vietnam yang juga juara lapan kali tidak menunggu lama untuk berada di depan menerusi jaringan Pham Hai Yen seawal minit keempat sebelum Nguyen Thi Bich Thuy menambah gol kedua pada minit ke-23.

Tiga minit kemudian, Hai Yen menggandakan kedudukan buat Vietnam apabila meledak gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu dan jaringan Tran Thi Hai Linh pada minit ke-32 membolehkan mereka menutup babak pertama dengan kedudukan selesa.

Belum sempat buat skuad kendalian Joel Cornelli cuba bangkit, Vietnam terus menghukum Malayan Tigress apabila pemain tengah, Thai Thi Thao menambah gol kelima Vietnam hanya empat minit selepas rehat.

Thi Thao kemudian berjaya mencipta hatrik apabila meledak dua lagi gol pada minit ke-59 dan 78, sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya pasukannya.

Keputusan itu menyaksikan Vietnam berada di kedudukan teratas kumpulan, berkongsi tiga mata bersama Myanmar yang menewaskan Filipina 2-1, manakala Malaysia di tangga tercorot.