Ugut Gantung Jika Bawa Kes ke CAS: TMJ

Foto Fail

KUALA LUMPUR: Ada individu mengugut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tidak membawa isu dokumentasi tujuh pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) mendakwa wujud individu tertentu dalam Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang meminta FAM tidak membawa isu dokumentasi tujuh pemain warisan ke CAS.

Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mendedahkan perkara itu pada sesi wawancara bersama penyokong JDT.

TMJ mendakwa, saranan itu disampaikan individu terbabit kepada Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin.

“Awak boleh tanya Tan Sri Hamidin sendiri, ada pihak dari FIFA cakap kepada dia jangan bawa benda ini pergi ke CAS. Sangat aneh, saya pun tak tahu kenapa mereka cakap jangan pergi ke CAS.

“Dia bukan tak bagi kita pergi, dia kata kalau boleh jangan pergi. Tetapi dia ada juga ugut, akan gantung, jika nak pergi ke CAS, akan buat benda yang lebih teruk. Kita akan pergi, kalah menang kita tak tahu,” kata Tunku Mahkota Ismail.