Tutup pintu FAM kepada orang lama, muka sama

Foto Datuk Kamarul Ariffin / NSTP

KUALA LUMPUR: Orang lama dan muka sama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu diketepikan pada pemilihan barisan kepemimpinan baru badan induk itu, kata bekas pengurus skuad kebangsaan Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar.

Menurutnya, langkah wajar ialah menutup pintu kepada ‘orang lama’ atau ‘muka sama’ untuk terus bertanding merebut jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM.

Beliau menyifatkan FAM berada dalam situasi agak tenat dan penuh cabaran.

“Kalau boleh janganlah muka lama atau individu yang sama terus bertanding merebut jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM.

“Kalau setakat mahukan baju atau elaun dan hanya hadir mesyuarat sahaja, bagi saya perkara itu tidak perlu kerana FAM sekarang berada dalam keadaan yang amat mencabar,” katanya.

FAM ketika ini dalam proses pemulihan dari aspek pentadbiran dengan bantuan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif meletak jawatan serta merta, Rabu lalu.

Kamarul menegaskan FAM ketika ini memerlukan individu yang benar-benar berkelayakan, berani membuat keputusan serta mempunyai keupayaan untuk memacu perubahan sebenar.