Tumbang kerana lawan sangat agresif

Foto BAM

KUALA LUMPUR: “Lawan benar-benar bermain menyerang. Saya fikir pertahanan kami tidak begitu mantap dan itu perkara yang perlu diperbaiki. Mereka juga bermain dengan laju, jadi kami perlu lebih peka dan agresif.

“Selepas ini, kami perlu lebih mantap dan yakin. Itu yang agak kurang hari ini, tetapi dari segi gandingan dan komunikasi, semuanya OK,” kata pemain beregu wanita negara M Thinaah.

Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tewas 16-21, 13-21 pada aksi separuh akhir Terbuka India. Ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut di tangan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto sejak Jelajah Dunia Final 2025, bulan lalu.

Sebelum ini, Pearly-Thinaah turut tewas 19-21, 13-21 di separuh akhir Jelajah Dunia Final 2025 selepas terlebih dahulu kecundang 15-21, 21-16, 19-21 pada saingan peringkat Kumpulan A kejohanan sama.

Pearly pula menafikan mengalami kecederaan serius selepas permainan terpaksa dihentikan seketika pada set kedua.

“Tiada apa yang serius. Saya hanya tergelincir dan dapat menamatkan perlawanan dengan selamat. Apapun, masih banyak yang perlu kami perbaiki,” katanya.

Pearly-Thinaah selepas ini dijadual beraksi di Masters Indonesia di Istora Senayan, Jakarta, bermula Selasa ini dan akan bertemu gandingan Amerika Syarikat, Francesca Corbett-Jennie Gai, pada pusingan pertama.