
KUALA LUMPUR: Tujuh pemain muda adalah antara 25 pemain yang dipersiapkan oleh pengendali Malayan Tigress, Joel Cornell untuk menjalani latihan bagi menghadapi cabaran Tri Nations Women’s International Series 2025
Pemain skuad bola sepak wanita kebangsaan itu mula berlatih pada Isnin, 17 November 2025 sebagai persiapan berdepan tuan rumah, Bangladesh pada Rabu, 26 November dan Azerbaijan pada Sabtu, 29 November 2025.
Antara bintang muda tumpuan skuad Malayan Tigress kali ini ialah tonggak Miami Dades Sharks yang beraksi di Amerika Syarikat, Kanchenjeet Kaur Nanua.
Pemain berusia 19 tahun itu bakal beraksi pada kempen Sukan SEA kali kedua bagi edisi 2025 sambil yakin pengalaman beraksi di luar negara bakal membantu mendapatkan rentak terbaik bersama pasukan kebangsaan.
Jurulatih kelahiran Brazil itu turut memanggil tonggak muda Selangor FC, Nur Najwa Irdina Zaidi serta bintang MBSJ FC, Nur Dhiyaa Addin Mohd Azhari (19) dan Dian Aqilah Mohammed Imran (18) dan Zafirah Zulaikha (16) dari SMK Seksyen 11 Selangor.
Pemain Kuala Lumpur FA, Nur Laila Syamila A. Rahim berusia 15 tahun dan Keisha Adeliena Khalid (14) menjadi pemain termuda dalam senarai 25 pemain yang dipanggil.
Kem latihan pusat ini juga menjadi sebahagian daripada persiapan menghadapi kempen Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung Disember hadapan.
Saingan Kumpulan B Bolasepak Wanita pada Sukan SEA 2025 menyaksikan Vietnam akan bertemu Malaysia pada Jumaat, 5 Disember 2025, diikuti aksi Malaysia menentang Myanmar pada Isnin, 8 Disember 2025 dan aksi terakhir, Filipina berdepan Malaysia pada Khamis, 11 Disember 2025.