Tubuh task force, segera pilih presiden FAM baru

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu menubuhkan jawatankuasa siasatan khas bagi menyiasat secara telus bagaimana kekecohan yang melanda badan induk itu boleh berlaku.

Pemerhati sukan, Datuk Christopher Raj Ketika membuat aranan tu berkata jawatankuasa itu mesti terdiri daripada ahli bebas yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan bolasepak tempatan.

“Pasukan task force ini perlu meneliti punca sebenar kegagalan, mengenal pasti kelemahan sistem, dan membentangkan laporan lengkap kepada presiden baru FAM untuk tindakan susulan. Hanya melalui ketelusan dan akauntabiliti, keyakinan penyokong dapat dipulihkan,” katanya.

Beliau juga berkata FAM kini seolah-olah beroperasi tanpa arah tuju yang jelas berikutan kekosongan tampuk kepemimpinan.

Ia juga menimbulkan persoalan mengenai siapa yang akan mengetuai usaha rayuan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menurutnya, FIFA akan berurusan secara rasmi dengan Presiden dan Setiausaha Agung FAM, justeru pemilihan segera amat penting bagi memastikan proses komunikasi serta rayuan dapat dijalankan dengan teratur.

“FAM mesti segera memilih presiden baru. Kita tidak perlu tunggu sampai tahun depan kerana sekarang tiada pemimpin. Sebuah persatuan yang tiada nakhoda dan dengan krisis yang sedang berlaku, siapa pemimpin yang akan membawa isu ini ke FIFA? Tiada.

“Kenapa FAM mahu tunggu Februari untuk buat pemilihan? Mereka sepatutnya melakukannya pada November atau Disember. Tidak kira siapa jadi presiden, yang penting proses pemilihan perlu dijalankan segera,” katanya.