TMJ tak minat terajui FAM lagi

Foto Hiasan / Tunku Mahkota Ismail

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Ismail (TMJ) berkata beliau tidak berminat untuk kembali menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), meskipun pernah memegang jawatan Presiden sebelum ini.

TMJ yang menerajui FAM dari 2017 hingga 2018 menjelaskan jawatan itu memerlukan komitmen sepenuh masa, sesuatu yang tidak dapat ditunaikan kerana tanggungjawab rasmi lain yang perlu diberi keutamaan.

“Saya pernah berada di situ sebelum ini. Dari segi masa, saya tidak boleh beri komitmen 24 jam sehari, tujuh hari seminggu kerana banyak tugas rasmi lain.

“Jadi, kita beri kepercayaan kepada individu lain yang lebih layak untuk menguruskan persatuan kerana jawatan presiden memerlukan tumpuan sepenuh masa,” katanya.

Beliau turut memuji bekas Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, yang kini menjadi Presiden Kehormat badan induk itu, atas dedikasi serta khidmatnya terhadap pembangunan bola sepak negara.

“Saya ada banyak tanggungjawab lain, jadi sudah tentu saya tidak dapat beri sepenuh masa dan secara jujur, saya pun tidak berminat untuk kembali,” katanya.