
KUALA LUMPUR: Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail dilapor bakal menjadi pelabur baru dalam kelab berpangkalan di Bosnia, FK Sarajevo.
Menurut laporan portal SportSport, Tunku Mahkota Ismail kini tampak hanya selangkah untuk menjadi ‘orang penting’ dalam FK Sarajevo selepas memiliki skuad Harimau Selatan ketika ini.
“Tunku Mahkota Ismail sudah lama mengimpikan untuk melakar langkah besar di pentas bola sepak Eropah.
“Kini beliau sedang dalam proses memuktamadkan pengambilalihan struktur pemilikan dalam FK Sarajevo,” kata SportSport.
Spekulasi itu terus diperkuat menerusi laporan daripada portal index.hr yang menyatakan FK Sarajevo bakal mendapat pelabur ketiga untuk pasukan itu.
Laporan terbabit berkata, bekas pengarah FK Sarajevo, Ajla Alimanovic mengumumkan ketibaan pelabur baru.
“Berdasarkan laporan tidak rasmi, rundingan sudah berjalan selama enam bulan dan sudah memasuki fasa terakhir.
“Salah seorang bekas pemilik bersama pasukan, Ismir Mirvic ketika ini berada di Kuala Lumpur di mana beliau sedang memuktamadkan perjanjian,” katanya.
Bagaimanapun, belum pasti sama ada Tunku Mahkota Ismail akan membeli pegangan dalam FK Sarajevo daripada Mirvic, tokoh perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan ataupun menyertai pasukan sebagai pelabur ketiga.