
KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Ismail adalah calon nombor satu yang layak untuk memegang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika ini, kata Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar.
Syed Yazid berkata pendapatnya itu berdasarkan kepemimpinan dan minat yang mendalam Tunku Mahkota Ismail terhadap sukan bolasepak termasuk kejayaannya membawa pelbagai kejayaan kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menurutnya, calon nombor dua yang mungkin boleh diketengahkan selepas Tunku Mahkota Ismail adalah Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
“Kalau ikutkan secara peribadilah, memang Pemangku Sultan Johor (calon paling layak untuk jawatan Presiden FAM). Saya berasa baginda calon yang boleh perbetulkan balik FAM.
“Bagi saya, kita tak boleh salahkan Tunku Mahkota Ismail dalam isu pemalsuan dokumen tujuh pemain. Kena tahu cerita sebenarlah benda ini, tapi bagi saya, saya tahu yang bukan salah Tunku Mahkota Ismail dalam isu itu,” katanya.
“Kalau bukan Tunku Mahkota Ismail, saya berasa Tan Sri Hamidin (calon kedua yang layak untuk jawatan Presiden FAM). Ia memandangkan beliau ada dengan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan juga AFC (Kofederasi Bolasepak Asia).
“Saya berasa dia pun salah seorang yang boleh perbetulkan balik FAM,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri KLFA di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi.
Majlis yang berlangsung meriah itu turut dihadiri Hamidin; Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.
Sebagai rekod, Tunku Mahkota Ismail sudah mempunyai pengalaman memimpin FAM ketika memikul tugas sebagai presiden badan induk itu dari tahun 2017 dan 2018.
Hamidin juga pernah berada di kerusi nombor satu FAM selama tujuh tahun dari 2018 hingga 2025 sebelum memutuskan tidak mempertahankan jawatan itu ketika kongres pemilihan pada Februari tahun lalu dan beliau kemudian dilantik sebagai Presiden Kehormat pada Jun tahun lalu.
Kerusi Presiden FAM dan semua jawatan lain termasuk Timbalan Presiden, Naib Presiden dan EXCO ketika ini kosong susulan peletakan jawatan secara berjemaah oleh Jawatankuasa Eksekutif pada Januari lalu susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain Harimau Malaya.
FAM ketika ini masih dalam fasa pemulihan dengan dibantu oleh AFC dan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John sebelum ini menjangkakan kongres pemilihan barisan kepemimpinan baharu FAM boleh diadakan selepas Piala Dunia apabila semua proses audit terhadap badan induk itu selesai sepenuhnya.