
KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal trek para negara memenangi tiga pingat emas pada hari ketiga Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Velodrom Tagaytay City, Filipina.
Jaguh berbasikal trek para Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin berkayuh kencang untuk merangkul emas ujian masa 1 kilometer (km) lelaki C1 (kecacatan fizikal) dengan catatan masa 1 minit 14.090 saat (s).
Mohamad Yusof menafikan saingan pencabar terdekat Seok Hojin dari Korea Selatan yang memenangi perak (1:18.468) dan pelumba Arab Saudi, Abas Alhashim meraih gangsa (1:20.021s).
Momentum kemenangan Mohamad Yusof diteruskan wakil negara dalam acara ujian masa 1km lelaki C5 (kecacatan fizikal) selepas Zuhairie Ahmad Tarmizi dan Ahmad Zharif Ahmad Nazri masing-masing unggul membawa pulang emas dan perak.
Zuhairie merekodkan masa 1:05.992s diikuti Ahmad Zharif dengan catatan 1:07.061s dan Ruito Kameda dari Jepun melengkapkan kedudukan podium menerusi pingat gangsa (1:08.206s).
Dalam pada itu, Nur Suraiya Muhamad Zamri bersama jurumudi Farina Shawati Mohd Adnan menggondol emas ujian masa 1km wanita B (kecacatan penglihatan) selepas merekodkan 1:11.291s.