Tewas Kepada Vietnam Gara-Gara Salah Taktik

Foto FA Malaysia

BANGKOK: Taktik membariskan lima pemain di bahagian pertahanan kerana mengharapkan keputusan seri memakan diri apabila Harimau Muda ditewaskan 0-2 oleh Vietnam dalam perlawanan terakhir Kumpuan B.

Bermain seperti hilang percaya diri, skuad Bawah 23 tahun sekadar bertahan dan menangkis serangan bertali arus Vietnam.

Skuad Bawah 23 tahun negara itu berpotensi ‘bungkus awal’ dari Sukan SEA 2025.

Itulah akibatnya apabila mereka berfikir hanya memerlukan seri untuk lolos ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B.

Kini pasukan negara perlu menunggu sama ada mampu layak sebagai naib juara terbaik ataupun tidak.

Dua lagi perlawanan akan berlangsung iaitu tuan rumah, Thailand menentang Singapura, sementara Indonesia akan membuat perhitungan berdepan Myanmar.

Vietnam mendominasi permulaan permainan dengan mereka menghantar amaran seawal minit keenam menerusi Nguyen Thai Quoc Cuong yang tepat ke dakapan Zulhilmi Saarani.

Berpunca daripada sepakan sudut pada minit ke-10, Vietnam membuka jaringan selepas hantaran lintang Nguyen Dinh Bac ditanduk masuk Nguyen Hieu Minh untuk gol pertama Vietnam.

Malaysia tampak mula mendapat rentak di pertengahan babak pertama dengan melancarkan beberapa gerakan namun momentum itu direntap apabila Vietnam meledak gol kedua pada minit ke-21.