Terbuka Malaysia 2026: Pei Kee-Mei Xing tarik diri

Foto Fail / BA Malaysia

KUALA LUMPUR: Hasrat pasangan beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing untuk beraksi di Terbuka Malaysia 2026 tidak kesampaian apabila terpaksa menarik diri daripada kejohanan bertaraf Super 1000 itu.

Memetik laporan media tempatan, Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak berkata, keputusan itu terpaksa dibuat selepas Pei Kee disahkan dijangkiti influenza berdasarkan pemeriksaan perubatan, semalam.

Ketiadaan Pei Kee-Mei Xing menyaksikan hanya dua wakil beregu wanita negara beraksi di Terbuka Malaysia edisi kali ini iaitu pasangan nombor dua dunia, Pearly Tan-M Thinaah serta Ong Xin Yee-Carmen Ting.

Bagaimanapun, Xin Yee-Carmen tersingkir awal selepas tewas kepada gandingan Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara 16-21, 11-21 dalam aksi pusingan pertama hari ini.

Pearly-Thinaah pula dijadual membuka tirai kempen menentang pasangan India, Rutaparna Panda-Swetaparna Panda, esok.