
KUALA LUMPUR: Pearly Tan-Thinaah berjaya melaksanakan segala perancangan dengan cemerlang, terutama dalam aspek kawalan permainan dan pukulan yang berkualiti untuk mengekang rentak lawan, kata ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak.
Rosman memuji ketenangan dan kematangan permainan ditunjukkan Pearly dan Thinaah ketika menjuarai Terbuka Artik 2025 di Vantaa, Finland, semalam.
Pasangan nombor dua dan naib juara dunia nyata itu menundukkan beregu Jepun, Rin Iwanaga–Kie Nakashini 21-7, 21-9 dalam aksi final yang hanya mengambil masa 32 minit di Arena Energia, Finland.
Menurutnya, mereka bermain dengan sangat tenang dan mengikut segala perancangan yang diatur.
“Kawalan permainan mereka baik dengan tumpuan pada pukulan ‘placing ball’ yang lebih berkualiti. Mereka juga tidak terlalu terburu-buru untuk menyerang dan tahap kualiti pertahanan sangat baik,” kata Rosman.
Rosman juga berpendapat kepercayaan sesama sendiri di antara Pearly-Thinaah menjadi faktor utama kejayaan mereka mengekalkan rentak konsisten sepanjang kejohanan.
Sementara itu, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal mengikuti jejak kemenangan Pearly Tan-Thinaah apabila tewas kepada pasangan Inggeris Ben Lane-Sean Verdy 18-21, 27-25 dan 17-21.