Tanggungjawab semua, bukan setiausaha agung saja

Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Semua pihak tidak seharusnya menuding jari dan menyalahkan antara satu sama lain, sebaliknya perlu tampil bertanggungjawab susulan isu hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), kata Tunku Mahkota Ismail (TMJ).

Menurutya, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman yang digantung baru-baru ini tidak sepatutnya menjadi satu-satunya individu yang dipersalahkan.

“Saya tak setuju. Secara jujur, saya rasa penggantungan terhadap Setiausaha Agung FAM tidak patut.

“Ramai yang terlibat dengan projek FAM, membantu FAM tak kisah sama ada dalam pencarian bakat pemain atau apa-apa saja cara. Bagi saya, semua patut memikul tanggungjawab ini termasuk Pegawai Eksekutif skuad kebangsaan (Rob Friend) dan semua pihak,” katanya.

TMJ turut menegaskan bahawa beliau tidak berminat untuk mencari siapa yang bersalah, sebaliknya mahu menumpukan kepada penyelesaian terbaik bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan secara menyeluruh.

“Secara jujur, saya tidak berminat untuk menuding jari. Kita berada di sini untuk mencari penyelesaian,” katanya.

Pada 17 Oktober lalu, Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram memaklumkan bahawa Noor Azman digantung serta-merta susulan keputusan tatatertib berkaitan isu dokumentasi tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.

Bulan lalu, FAM dan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel telah dihukum oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.