
JAKARTA: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, meraih gelaran pertama musim ini selepas menewaskan wakil Denmark dalam Kejohanan Badminton Masters Indonesia di Istora Senaya, Jakarta.
Ini adalah kali pertama pasangan nombor satu negara itu mencipta kejuaraan di Indonesia.
Dalam pertembungan sengit itu, Mathias Christiansen-Alexandra Boje menonjolkan permainan berkualiti, memaksa wakil negara berhempas pulas dalam aksi final itu.
Tewas set pertama 15-21, Juara Dunia itu bangkit 21-17 dalam set kedua untuk mengheret permainan ke set penentuan.
Dalam perlawanan akhir itu, beregu campuran ranking keempat dunia itu pantas mengasak pihak lawan dengan pukulan kencang dan mensasarkan kesilapan mereka untuk tenang mendahului di depan.
Mata kejuaraan hadir 21-11 untuk Tang Jie dan Ee Wei berada di atas podium buat kali pertama musim ini.
Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah pula menjuarai Masters Indonesia selepas gandingan Jepun, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi menarik diri daripada aksi final.
Kemenangan tanpa bertanding itu membolehkan pasangan negara meraih gelaran pertama mereka bagi musim ini.
Kejayaan di Jakarta itu menjadi pengubat duka buat Pearly dan Thinaah selepas permulaan musim yang agak perlahan.