
KUALA LUMPUR: Tekong utama skuad sepak takraw negara, Muhammad Syahir Mohd Rosdi diiktiraf sebagai tekong terbaik dunia oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).
Pengiktirafan berprestij itu diberikan oleh ISTAF menerusi satu Sijil Kecemerlangan Antarabangsa Terbilang yang dikeluarkan kepada Syahir sebagai menghargai pencapaian luar biasa di pentas antarabangsa.
Pengiktirafan itu mengesahkan statusnya sebagai tekong terbaik dunia.
Menurut kenyataan sijil ISTAF itu, anugerah berkenaan diberikan susulan prestasi memukau yang dipamerkan oleh Syahir khususnya dalam tiga kejohanan utama iaitu Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan SEA 2025.
“Melalui penguasaan teknik elit, kecerdasan taktikal, ketahanan mental dan kecemerlangan kompetitif, beliau secara konsisten beraksi di tahap tertinggi sepak takraw antarabangsa,” kata kenyataan itu.
Lebih membanggakan, ISTAF turut menggariskan bahawa kemampuan Syahir memberikan saingan sengit dan mencabar dominasi pemain elit Thailand telah mendapat perhatian meluas.
Media sukan Thailand sendiri mengakui kehebatan Syahir dan mengangkatnya sebagai salah seorang tekong paling digeruni di dunia ketika ini.