
KUALA LUMPUR: Peluang Malaysia untuk muncul juara Piala Thomas kali ini sukar berdasarkan kekuatan semasa pasukan, khususnya dalam acara perseorangan, kata legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek.
Namun, beliau tidak menolak sepenuhnya peluang skuad negara sambil menegaskan sasaran juara yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mampu menjadi suntikan psikologi buat pemain.
“Sasaran memang kena tinggi, itu perang psikologi. Tetapi kalau kita lihat kemampuan sekarang, peluang untuk juara itu nampak sukar.
“Kita kekurangan kekuatan dalam perseorangan. Beregu memang seimbang dan kuat, tetapi perseorangan masih belum cukup stabil,” katanya.
Razif berpandangan dua tonggak utama perseorangan negara, Leong Jun Hao dan Justin Hoh, perlu mempamerkan aksi luar biasa sekiranya Malaysia mahu membawa cabaran lebih jauh.
“Perseorangan pertama dan kedua mesti bermain pada tahap luar biasa. Kalau tidak, mungkin kita tak sempat pun ke perlawanan ketiga.
“Kita perlukan sekurang-kurangnya satu mata daripada perseorangan untuk mengimbangi kekuatan beregu,” katanya.