Sukan SEA 2025 Berakhir, Selamat Datang ke Malaysia

Foto Bernama

BANGKOK: Api hijau temasya dipadamkan dalam majlis penutup penuh warna-warni dan bertenaga di Stadium Nasional Rajamangala, di sini menandakan Sukan SEA 2025 secara rasmi ditutup malam tadi.

‘The Sound of Whistle’, menampilkan penyanyi bintang T-POP, Daou dan Kratae, mendendangkan lagu ikonik Thailand, ‘Rak Nak Naen’, yang digubah semula bagi mencerminkan semangat kesukanan, disiplin dan perpaduan negara-negara Asean yang bertanding.

Sorakan penonton bergema sebaik perarakan atlet bermula, memperlihatkan kehadiran wira dan wirawati sukan daripada 54 disiplin sukan berbeza.

Perarakan kontinjen negara terdiri daripada 80 atlet dan pegawai. Pemain sepak takraw senior Farhan Adam, diberikan penghormatan membawa Jalur Gemilang.

Timbalan Perdana Menteri Thailand, Thamanat Prompow seterusnya menyampaikan ucapan dan mengisytiharkan penutupan rasminya temasya sukan yang bermula 9 Disember lalu.

Bendera Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan Sukan SEA 2025 diturunkan, sebelum diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebagai simbolik penyerahan temasya dwitahunan sukan terbesar rantau ini kepada tuan rumah seterusnya.

Sebagai tuan rumah edisi ke-34 pada 2027, Malaysia turut mempersembahkan segmen ‘Rhythm of Harmony’, menampilkan artis tempatan Mimi Fly serta 60 penari, mempamerkan kepelbagaian budaya serta keharmonian negara.