
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nasir Ali, berkata Malaysia menerusi negeri Selangor berhasrat untuk menganjurkan Sukan Perpaduan Islam 2029 dalam suasana gilang-gemilang
Beliau berkata, MOM berharap dapat bekerjasama dengan Selangor dan Persatuan Sukan Perpaduan Islam (ISSA) dalam menganjurkan temasya sukan berkenaan yang akan ditambah nilai dengan hospitaliti Malaysia.
“Bagi pihak Presiden MOM dan Naib Presiden Majlis Olimpik Asia bagi zon Asia Tenggara, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, kami ingin merakamkan penghargaan kepada ISSA di bawah kepimpinan Putera Abdulaziz Turki Al-Faisal kerana memberi kepercayaan kepada Malaysia dan Selangor untuk menganjurkan Sukan Perpaduan Islam ketujuh pada 2029,” katanya.
ISSA pada 8 Oktober telah menganugerahkan hak penganjuran Sukan Perpaduan Islam 2029 kepada Malaysia dan Selangor ketika perhimpunan agung ke-14 persatuan itu.