Stadium Titiwangsa ‘Home of Sepak Takraw’

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Stadium Titiwangsa kini diumumkan sebagai ‘Home of Sepak Takraw’ (Rumah Sepak Takraw) susulan kejayaan cemerlang skuad negara di pentas antarabangsa sepanjang tahun lalu.

Mengumumkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata keputusan itu dibuat dengan persetujuan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tujuannya ialah bagi menjadikan stadium berkenaan sebagai gelanggang rasmi sukan sepak takraw negara, katanya.

Beliau berkata, bagi fasa pertama projek naik taraf, sebanyak RM80,000 diperuntukkan untuk menambah baik kemudahan sedia ada sekali gus memperkukuh identiti stadium sebagai pusat utama sepak takraw.

“Antara kerja penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk lukisan mural bertemakan ‘Home of Sepak Takraw’, pemasangan papan skor LED baharu, penyediaan ruang VIP, surau, bilik media, stor, tandas lelaki dan wanita serta menaik taraf bilik persalinan dan bilik mesyuarat.

“Secara keseluruhan, peruntukan yang digunakan mencecah kira-kira RM200,000 daripada bajet DBKL. Kita tidak perlu membina stadium baru, sebaliknya hanya membuat penetapan semula fungsi bagi memberi fokus kepada sukan ini.

“Namun, ia tetap terbuka untuk kegunaan sukan lain,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian di sini.