
KUALA LUMPUR: Walaupun tewas 4-5 kepada Jepun dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Kelayakan Piala Dunia di Ismailia, Mesir, skuad hoki lelaki negara tetap berjaya mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 sebentar tadi.
Jepun terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Ooka Ryoma pada minit ke-15 sebelum Malaysia menyamakan kedudukan melalui jaringan padang Mohd Fitri Saari pada minit ke-30.
Malaysia kemudian mendahului permainan apabila Marhan Mohd Jalil menjaringkan gol pada minit ke-32 sebelum Syed Syafiq Syed Cholan menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-36 untuk meletakkan skuad Speedy Tigers selesa di hadapan.
Namun Jepun bangkit merapatkan kedudukan melalui jaringan Matsumoto Kazumasa pada minit ke-38 sebelum Fujishima Raiki menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-52.
Jepun terus memberi tekanan dan berjaya mendahului selepas Yamasaki Koji menjaringkan dua gol pantas pada minit ke-55 dan ke-57 untuk meletakkan Jepun di hadapan.