Speedy Tigers tewas 3-5 kepada Pakistan

Foto FIH

KUALA LUMPUR: Speedy Tigers terlepas peluang mengukuhkan kedudukan di persada Kumpulan B apabila tewas 3-5 kepada Pakistan dalam aksi kedua kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir.

Keputusan itu menyaksikan skuad hoki kebangsaan itu jatuh ke tangga kedua kumpulan selepas dipintas Pakistan yang kini mengungguli dengan enam mata daripada dua perlawanan.

Malaysia memulakan perlawanan dengan intensiti tinggi, mendominasi permainan seawal minit pertama yang membuahkan hasil apabila Muhajir Abdu Rauf meledak gol padang pada minit ke-12.

Dua minit kemudian, Malaysia terus ceria apabila pakar pukulan sudut penalti, Mohamad Akhimullah Anuar Esook menyempurnakan peluang untuk meletakkan negara selesa di hadapan dengan kedudukan 2-0.

Pakistan di bawah bimbingan Ahmed Butt, bangkit merapatkan jurang menerusi gol padang Waheed Ashraf Rana pada minit ke-14, sebelum Zikriya Hayat menyamakan kedudukan 2-2, hanya dua minit selepas itu.

Memasuki suku ketiga, Mohd Fitri Saari menghidupkan semula harapan negara apabila tenang menyempurnakan penalti strok pada minit ke-40 untuk mendahului 3-2.

Bagaimanapun ia tidak bertahan lama, apabila Pakistan menyumbat tiga gol menerusi jaringan Nadeem Ahmad (45’) dan Sufyan Khan (49’) sebelum dilengkapi dengan jaringan penutup Ammad Muhammad (56’).

Malaysia akan melengkapkan saingan peringkat kumpulan dengan misi wajib menang ke atas China pada Rabu ini.