
KUALA LUMPUR: Skuad terjun lelaki negara mampu membolot semua pingaat emas yang dipertandingkan di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini, kata jaguh terjun negara, Muhammad Syafiq Puteh.
Keyakinan itu disuarakan Syafiq, 30, yang juga penerjun senior negara, selepas melihat kesungguhan dan persiapan rapi rakan sepasukannya, terutamanya barisan penerjun muda.
Dengan kejayaan memenangi dua pingat perak pada Kejohanan Akuatik Asia 2025 di Ahmedabad, India, bulan lalu, Muhammad Syafiq turut berazam mempertahankan pingat emas acara tiga meter papan anjal individu dimenanginya pada edisi di Kemboja dan Vietnam.
“Saya percaya kepada junior-junior saya. Usaha mereka untuk Sukan SEA kali ini, mereka berlatih lebih 100 peratus. Jadi saya harap pada waktunya nanti, di Sukan SEA Thailand, mereka akan buat lebih baik.
“Sudah tentu (sasaran emas) sebab saya ingin mempertahankan emas saya di Kemboja dua tahun lalu. Dan saya harap di Sukan SEA Thailand kali ini saya akan dapat mempertahankan lagi emas saya,” katanya ketika ditemui ketika kunjungan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2025 Nurul Huda Abdullah, di gelanggang latihan skuad terjun kebangsaan di Bukit Jalil.