
Skuad boling remaja negara terus mendominasi Kejohanan Boling Remaja Asia ke-24 yang berlangsung di Doha, Qatar apabila menambah dua lagi pingat emas menerusi acara berpasukan lelaki dan wanita semalam.
Kejayaan berganda itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila buat kali pertama Malaysia berjaya merangkul kedua-dua gelaran berpasukan lelaki dan wanita dalam satu edisi kejohanan, sekaligus mengesahkan status selaku juara keseluruhan.
Dalam acara berpasukan lelaki, skuad negara yang dibarisi Sayed Abdullah, Hafiz Azhlan, Aqil Faizal dan Wan Zarif Ikram Mazlan terpaksa bekerja keras sebelum menafikan cabaran Kuwait dengan kelebihan hanya dua jatuhan pin selepas melakukan keseluruhan 5,198 jatuhan pin.
Kuwait terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala tuan rumah, Qatar meraih gangsa selepas mencatat 5,052 jatuhan pin.