Skuad berbasikal para negara unggul lagi

Foto FB ASIAN CYCLING CONFEDERATION

KUALA LUMPUR: Dua lagi pingat emas diraih oleh skuad berbasikal trek para negara menerusi acara pecut pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Tagaytay, Filipina.

Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin menewaskan pelumba Arab Saudi, Abas Alhashim pada aksi final kategori C1 (kecacatan fizikal), sekaligus mengutip pingat emas pertama negara.

Kejayaan berganda skuad negara dilengkapkan oleh Ahmad Zharif Ahmad Nazri dalam kategori C5 (kecacatan fizikal) apabila muncul juara dengan menewaskan seorang lagi pelumba negara Zuhairie Ahmad Tarmizi serta pelumba Jepun Ruito Kameda, yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Semalam, pelumba berbasikal trek para wanita negara Nur Suraiya Muhamad Zamri turut mencipta sensasi apabila merangkul pingat emas dalam acara pecut kategori wanita B (kecacatan penglihatan) selepas menewaskan pencabar dari Kazakhstan Kalaus Anastassiya pada aksi final.