
BANGKOK: Gelanggang silat Sukan Sea Thailand kecoh apabila pegawai Malaysia mendakwa pengadilan berat sebelah membabitkan pesilat negara dengan atlet tuan rumah semalam.
Di gelanggang pencak silat dekat Hall 4, Impact Arena, Muang Thong Thani, wakil negara, Nor Farah Mazlan berdepan atlet Thailand, Chongthima di aksi suku akhir wanita Kelas B (50–55 kilogram).
Nor Farah dilihat cukup agresif dan sepatutnya menghasilkan mata daripada serangan yang dilakukannya, namun usahanya itu dilihat tidak berhasil mendapatkan mata.
Pengurus skuad negara yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Bibi Aishah Golbal Shah mendakwa, penjurian jelas dilihat memihak kepada tuan rumah.
“Insiden Farah itu adalah kerana mainan juri. Rata-rata yang berada dalam dewan mengatakan Farah menang, tapi juri langsung tak beri mata kepada Farah.
“Kalau kita lihat video-video (pertarungan), memang jelas juri tak memberi markah dan memihak kepada Thailand,” kata Bibi Aishah.