
JOHANNESBURG: Tiada sebarang usaha menutup skandal membabitkan pendaftaran tujuh pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana ia isu besar yang mesti ditangani mengikut prosedur sewajarnya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, Kabinet bersetuju bahawa tidak sepatutnya ada usaha untuk melindungi FAM dalam skandal itu dan meminta proses siasatan diteruskan tanpa dipengaruhi oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Anwar menekankan perlunya proses siasatan yang teliti terhadap skandal pendaftaran pemain warisan oleh FAM dan menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil jika FAM didapati bersalah, walaupun prosesnya mungkin mengambil masa.
Perdana Menteri berkata Kabinet sudah membincangkan isu itu dan memutuskan tidak seharusnya ada sebarang usaha melindunginya.
“Teruskan dan siasat. Itu telah menjadi arahan. Namun begitu, prosesnya mesti berjalan. Kita tidak membuat keputusan bertindak semata-mata berdasarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),” katanya kepada media Malaysia dalam penerbangan Malaysia Airlines menuju ke Afrika Selatan dari Ethiopia pada Khamis.
Anwar berkata kerajaan tidak mempersoalkan kredibiliti FIFA dan bersetuju dengan pendirian yang diambil oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.