
KUALA LUMPUR: Atlet wushu negara, Si Shin Peng melakar kejutan apabila menghadiahkan pingat emas pada Kejohanan Dunia di Brasilia, Brazil, Semalam
Atlet berusia 23 tahun itu yang membuat penampilan sulung di kejohanan berprestij itu, meraih 9.756 mata dalam acara qiangshu (lembing) lelaki.
Kuong Chi Hin dari Macau meraih perak dengan 9.743 mata, manakala wakil Jepun, Araki Motoyoshi sekadar berpuas hati dengan gangsa selepas mengutip 9.740 mata.
Shin Peng yang juga anak jati Melaka, mencatat kejayaan sensasi apabila menghadiahkan emas pertama buat Malaysia di kejohanan dwitahunan itu, yang julung kali berlangsung di benua Amerika Selatan.
“Ini untuk negara yang sedang menyambut Hari Kebangsaan minggu ini. Saya mengharapkan pingat, tetapi tidak sangka boleh muncul juara,” kata Shin Peng yang sebelum ini pernah meraih emas dalam acara qiangshu di Kejohanan Remaja Asia 2019 ketika berusia 17 tahun.