Shah Firdaus, Nurul Izzah pelumba terbaik 2025

Foto Sinar Harian

MELAKA: Muhammad Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati dipilih sebagai Pelumba Terbaik Lelaki dan Wanita di Majlis Apresiasi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) 2025 di sini, semalam.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill pada majlis yang dihadiri penggiat sukan berbasikal seluruh negara termasuk pegawai, atlet dan tokoh-tokoh sukan.

Amarjit menyifatkan penganugerahan kepada dua pelumba itu sebagai satu lembaran baru dalam sejarah penubuhan badan induk berkenaan.

Muhammad Shah dan Nurul Izzah masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil.

Dua pelumba para Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dan Nur Suraiya Mohd Zamri yang ketika ini menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 di Rio de Janeiro, Brazil, diumumkan sebagai Pelumba Para Terbaik.

Legenda berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan pula menerima anugerah khas, membawa pulang trofi serta baki wang hadiah kemenangan bernilai RM4,500 yang dijanjikan PKBM.