Sentuhan Magis Naga Api Terbukti

Foto BA Malaysia

Sentuhan magis jurulatih Herry Iman Pierngadi yang makin berkesan diakui menjadi elemen penting buat Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King menamatkan penantian untuk merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia BWF dengan menjuarai Terbuka Macau, semalam.

Pada aksi final, gandingan nombor 24 dunia itu menampilkan semangat juang luar biasa untuk mengejutkan pilihan utama dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 22-20, 21-18.

Selain trofi pertama Jelajah Dunia BWF, kemenangan turut membalas dendam kekalahan terakhir Wan Arif-Roy King ke atas pasangan yang berada di ranking kelapan dunia itu yang mengalahkan mereka di pentas akhir Masters Sepanyol pada 2023.

Tetapi bagi Arif, apa yang lebih penting kejayaan itu menjadi bukti dia dan Roy King makin serasi dengan corak permainan diterapkan jurulatih dengan julukan Naga Api itu selepas mengakui bergelut di awal kehadiran bekas pengendali skuad kebangsaan Indonesia itu.