
KUALA LUMPUR: Pemain bolasepak sensasi negara dan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi selamat menjalani rawatan susulan kecederaan dialaminya baru-baru ini.
Pemain itu bertekad untuk kembali lebih kuat dalam perkembangan yang dikongsikan pemain 23 tahun berkenaan menerusi akaun Instagram miliknya, ariifaiman42.
“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Doakan saya cepat sembuh dan dapat kembali lebih kuat, insya-Allah,” tulis Arif Aiman dalam hantaran itu.
Arif Aiman sebelum ini mengalami kecederaan ketika mewakili skuad kebangsaan dalam aksi Kumpulan F, kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 18 November lalu.
Dia hanya sempat beraksi kira-kira lapan minit sebelum digantikan Faisal Halim dalam perlawanan yang berkesudahan kemenangan 1-0 buat Harimau Malaya.