
KUALA LUMPUR: Skuad bolasepak Selangor meraikan sentuhan Kim Pan-Gon apabila jurulatih dari Korea Selatan itu berjaya mengemudi pasukan itu ke tangga kedua Liga Super hanya selepas dua perlawanan.
Selangor menduduki tangga kedua selepas menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut direkodkan selepas menewaskan DPMM FC 5-2 di gelanggang lawan, Sabtu lalu.
Peningkatan kedudukan Selangor dalam liga itu turut dibantu oleh kejayaan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Penang FC menewaskan Kuching City dan Kuala Lumpur (KL) City dalam perlawanan yang turut berlangsung, kelmarin.
Pan-Gon, bekas pengendali Harimau Malaya menjelaskan bahawa pasukannya berhak memenangi perlawanan berdepan Negeri Sembilan berdasarkan persembahan yang dipamerkan anak buahnya.
Beliau turut menganggap Gergasi Merah sepatutnya meraih kemenangan lebih besar sekiranya beberapa peluang terhidang dapat disudahkan dengan jaringan.
“Kami mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol, terutamanya pada separuh masa pertama. Saya berasa kami mengawal perlawanan. Jika kami menjaringkan gol awal, perlawanan akan jadi berbeza,” katanya.