
KUALA LUMPUR: Gagal dalam saingan acara keirin dan pecut, pelumba basikal trek remaja, Sawda Hasbullah menebus kehampaan itu dengan meraih emas bagi saingan satu kilometer (km) ujian masa kategori remaja wanita Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Velodrom Tagaytay, Filipina.
Sawda bukan sekadar berjaya mempertahankan emas dimenangi tahun lalu di Velodrom Nasional, Nilai malah turut memecahkan rekod Asia miliknya sendiri dengan mencatat masa 1 minit 09.604 saat (s).
Rekod lama remaja Asia yang dilakukannya di laman sendiri ialah 1:10.818s Februari 2025, tatkala ia juga diiktiraf sebagai rekod remaja dunia, sebelum dipecahkan Erin Boothman (Britain) pada Julai di Kejohanan Berbasikal Eropah.
Perak dalam acara berkenaan Lee Hyun Ji dari Korea Selatan (1:10.640s), manakala pelumba India, S Thabitha meraih gangsa (1:12.613s).
Walaupun gagal memecahkan rekod Erin dan hanya membawa pulang satu emas, berbanding edisi lalu dua emas termasuk dalam saingan pecut, pelumba berusia 18 tahun itu membuktikan dia adalah pelapis sensasi untuk menggantikan barisan pelumba senior.
Pada edisi kali ini, Sawda turut meraih gangsa selepas membantu pasukan pecut remaja wanita negara, mencatat masa ketiga terpantas 52.835s bersama Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak dan Davia Evriel Eriana Azif.