
KUALA LUMPUR – Perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 yang bermula esok akan disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM). Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu membolehkan kemeriahan perlumbaan bertaraf dunia tersebut dinikmati bersama oleh seluruh rakyat negara ini.
“Berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia! RTM akan menyiarkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 secara langsung agar kemeriahan perlumbaan ini dapat dinikmati bersama. Saya berharap siaran langsung ini memberi peluang kepada rakyat di seluruh pelosok tanah air untuk merasai debaran perlumbaan bertaraf dunia dari Litar Antarabangsa Sepang (SIC),” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perlumbaan itu berlangsung di SIC bermula esok hingga Ahad. Semalam, Anwar menyertai Pit Lane Walk bersempena perlumbaan tersebut sambil berkongsi perkembangan persiapan penganjuran dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa. SIC dipilih sebagai tuan rumah menjadikan litar ikonik itu lokasi sementara bagi perlumbaan berprestij Bahrain tersebut, selepas Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai hos pada Julai lepas susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik pengumuman tersebut, menyifatkannya sebagai peluang kepada rakyat yang tidak berkesempatan hadir ke SIC untuk turut merasai kemeriahan acara itu. KBS percaya pendedahan menerusi siaran RTM berupaya menyemarakkan minat rakyat terhadap sukan permotoran, khususnya dalam kalangan generasi muda, selain memperkukuh keterlibatan rakyat dalam meraikan penganjuran acara sukan antarabangsa di negara ini. Kementerian itu turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri serta Kementerian Komunikasi dan RTM atas kerjasama merealisasikan siaran langsung berkenaan.
Sumber : Bernama