Roslin jadi ketua jurulatih badminton Mesir

Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Muhammad Roslin Hashim berkelana ke Mesir dan menggalas tugas ketua jurulatih pasukan badminton negara itu bagi kontrak tiga tahun bermula bulan ini.

Bekas pemain badminton negara itu berkata, keputusan itu diambil bagi menimba pengalaman baru dalam kerjayanya sebagai jurulatih badminton di luar negara.

Katanya, Persekutuan Badminton Mesir (EBF) telah menawarkan kontrak selama tiga tahun sebagai persiapan menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Ini satu cabaran, saya ambil satu skop kerja yang baru untuk saya… cabaran memang besar, kalau tengok tugas yang saya harus pikul ini bukan tugas mudah, bukan hanya sebagai seorang jurulatih di sana tetapi juga sebagai seorang pengarah teknikal dan ketua jurulatih.

“Tugas memang besar dan saya akan cuba sebaik mungkin untuk kerjaya saya,” katanya.