
KUALA LUMPUR: Bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo berminat untuk beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) jika kelabnya, Al-Nassr melakukan jelajah ke Asia.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) mendedahkan menerima mesej demikian daripada Ronaldo.
TMJ yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menyifatkan perkara itu sebagai pengiktirafan tinggi terhadap gelanggang rasmi skuad Harimau Selatan itu.
“JDT ini sangat unik, sampai saya terima mesej daripada Cristiano Ronaldo, cakap kalau Al-Nassr ada jelajah di Asia, dia cakap kalau main dekat Malaysia, dia tak nak main tempat lain, dia nak main dekat Johor sahaja.
“Itu adalah satu pengiktirafan yang positif dan tinggi di mana orang puji stadium yang anda ada. Benda itu bagus dan banyak lagi yang akan saya bawa, bukan dalam bola sepak sahaja, tetapi untuk sukan-sukan lain.
“Alhamdulillah, sukan permotoran pun kita menang dan tahniah kepada Hafizh Syahrin (Abdullah). Orang semua cakap dia sudah habis, saya ambil dia bila tiada orang percayakan dia. Saya bagi dia kepercayaan dan sokongan, hari ini dia jadi juara.