RM18 Juta bagi Program Pembangunan Bolasepak Negara

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM18 juta bagi pelaksanaan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) tahun ini, kata Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 itu adalah bagi pengurusan atlet dan jurulatih, pengurusan pusat latihan, pendedahan latihan dan kejohanan, sains dan perubatan serta khidmat sokongan.

Beliau berkata, peruntukan itu juga meliputi pelaksanaan program membabitkan 16,221 pelatih dan 792 jurulatih melalui rangkaian 79 Akademi Tunas, 63 Pusat Latihan Daerah, 14 Sekolah Sukan Negeri, satu Akademi Zon serta Akademi Mokhtar Dahari.

“Kita sedang cuba memperkasakan sukan bolasepak ini sebaik mungkin supaya kita dapat melahirkan lebih ramai lagi pemain tempatan yang hebat dan boleh mewakili negara.

“Segala isu bolasepak yang berlaku, kita biarkan ia dibicara dengan proses dan lunas undang-undang.

“Yang penting kita jangan luntur semangat untuk memperkasa dan memperkukuh segala program yang ada,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat.

Mohammed Taufiq berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih bertanggungjawab terhadap aspek teknikal, kejurulatihan dan prestasi NFDP, manakala Majlis Sukan Negara (MSN) menyelia aspek pengurusan termasuk kewangan, pendidikan, kebajikan, pelatih, asrama, sajian, fasiliti serta penyelenggaraan.