
Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky menyifatkan ketenangan dan fokus tinggi ditampilkan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King menjadi kunci kejayaan mereka menjuarai Terbuka Macau, semalam.
Menurut Rexy, biarpun berdepan cabaran luar jangka termasuk masalah air pendingin hawa yang menitik ke gelanggang sehingga mengganggu kelancaran perlawanan, namun pasangan ranking ke-24 dunia itu kekal tenang dan tidak mudah goyah.
“Saya gembira melihat mereka kekal fokus. Walaupun ada sedikit terjejas disebabkan ada air menitik ke gelanggang tetapi tetapi fokus Arif-Roy sangat baik.
“Saya harap mereka boleh terus kekalkan momentum ini dan fokus kepada latihan sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Dunia nanti (di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos ini),” kata Rexy kepada BH Sukan.