
KUALA LUMPUR: Setelah rayuan FAM gagal, CEO Harimau Malaya, Rob Friend adalah antara yang wajar letak jawatan, kata legenda bolasepak negara Datuk Jamal Nasir.
Jamal menegaskan beberapa pihak lain juga perlu bertanggungjawab dan sedia melepaskan jawatan seperti mana disuarakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebelum ini.
Pada sidang media khas 25 Oktober lalu, Tunku Ismail secara terang-terangan menyebut beberapa pihak termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya, Rob Friend perlu mengambil tanggungjawab susulan hukuman dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini.
Malah, Tunku Ismail turut berpandangan tindakan menggantung Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan tidak sepatutnya berlaku, seolah-olah meletakkan semua kesalahan terhadap Noor Azman semata-mata.
Menurut Jamal, jelaslah rayuan yang dikemukakan FAM tidak berjaya, Friend perlu melepaskan jawatannya itu.
“Saya dari awal tidak bersetuju dengan tindakan menggantung Setiausaha Agung FAM dan perkara sama juga disuarakan Tunku Ismail.
“Kenapa perlu salahkan Setiausaha Agung FAM sedangkan beliau hanya membantu menyerahkan dokumen yang disediakan oleh pengurusan skuad Harimau Malaya sendiri.
“Sepatutnya pengurusan pasukan kebangsaan perlu meneliti dan menyemak terlebih dulu segala dokumen itu. Kalau kata ejen yang bagi, pengurusan pasukan kebangsaan tetap kena semak dulu dan bukan ‘membabi buta’ sahaja terima,” katanya.