
KUALA LUMPUR: Susulan hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan dengan Cape Verde, Singapura dan Palestin dengan Malaysia dianggap tewas 0-3, skuad kebangsaan kini terkeluar daripada kelompok 120 terbaik dunia.
Kemas kini terbaru ranking FIFA hari ini menyaksikan skuad bimbingan Peter Cklamovski tergelincir lima anak tangga apabila kini menghuni kedudukan ke-121 dunia.
Kedudukan itu menyaksikan Malaysia hanya satu anak tangga mengatasi seteru serantau, Indonesia yang berada di ranking ke-122.
Skuad Harimau Malaya kini menghimpun 1,145.89 mata yang mana mereka kehilangan kira-kira 22 mata berbanding ketika berada di ranking ke-116 dunia dengan 1,168 mata.
Keputusan itu bukan sahaja menyebabkan ranking Malaysia jatuh malah turut menyaksikan rekod tanpa kalah yang dilakar mereka sepanjang tahun ini lebur.
Kemas kini terbaharu menyaksikan Cape Verde naik satu anak tangga ke-68 dunia sementara Singapura yang tewas 1-2 di tangan Malaysia naik tiga anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-148 dunia.
Palestin yang tewas 0-1 di tangan Malaysia pula naik satu anak tangga ke ranking ke-95 dunia.