Ranking FIFA Terkini: Malaysia Jatuh, Vietnam Naik Mendadak

Foto AFP

KUALA LUMPUR: Kejatuhan ranking dan kehilangan mata paling teruk dialami oleh pasukan Malaysia mengikut kemas kini terbaru ranking Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA).

Selepas hilang 59.67 mata, skuad negara kini berada di kedudukan ke-138 dunia berbanding tangga 121 ketika kemas kini pada 20 Januari lalu.

Situasi itu sebahagian besar dipengaruhi oleh keputusan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membatalkan kemenangan Malaysia ke atas Nepal dan Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 sebelum ini.

Keputusan dibuat AFC pada 17 Mac lalu itu susulan daripada isu pemalsuan dokumen tujuh pemain Harimau Malaya dengan skuad negara diisytihar kalah 0-3 bagi kedua-dua perlawanan berkenaan kerana menurunkan pemain tidak layak.

Kekalahan kepada Nepal dipercayai memberi kesan besar terhadap ranking Malaysia berdasarkan kedudukan ranking skuad The Gorkhalis yang berada jauh lebih rendah berbanding Harimau Malaya.

Selain kesan daripada hukuman AFC, kekalahan 1-3 kepada Vietnam pada aksi terakhir kelayakan dalam Kumpulan F di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, kelmarin turut mempengaruhi kejatuhan ranking skuad kendalian Peter Cklamovski.