Punca Pearly-Thinaah Tewas di Kandang Sendiri

Foto Berita Harian

KUALA LUMPUR: Apa yang menyebabkan pasangan Pearly Tan-M Thinaah sering kalah ketika bermain di negara sendiri?

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei tahu puncanya dan mendedahkan beliau sudah memperoleh laporan awal berhubung kekalahan Pearly Tan-M Thinaah pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2026.

Legenda perseorangan lelaki negara itu berkata, beliau sempat bertemu beregu ranking kedua dunia berkenaan selepas mereka tewas kepada pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari 24-26, 17-21, Khamis lalu.

Menurut Chong Wei, dalam pertemuan itu Pearly-Thinaah mengakui berdepan tekanan ketika beraksi di halaman sendiri.

Bagaimanapun, situasi berkenaan disifatkannya sebagai perkara biasa dalam dunia sukan berprestasi tinggi.

“Memang bukan semua pemain boleh bermain dengan baik di gelanggang sendiri. Ada yang boleh, ada yang tidak. Tetapi bermain di laman sendiri sebenarnya satu kelebihan kerana kita ada ramai penyokong di belakang.

“Saya sendiri kerap bermain di gelanggang sendiri. Kalau tanya saya, memang saya suka, tetapi pada masa sama tetap rasa takut. Perasaan itu sama sahaja,” katanya.

Chong Wei berkata, tekanan beraksi di hadapan penyokong tempatan sering menjadi lebih berat kerana pemain mahu menampilkan persembahan terbaik untuk negara dan diri sendiri.